
Wajah mulus putih berseri,
Seminggu yang lepas, bertarikh 25 Disember 2009 telah diadakan kenduri aqiqah untuk Muhammad Ammar. Alhamdulillah, tetamu yang dijemput tidak melepaskan peluang hadir untuk melihat anakanda Ammar. Hampir 500 panggilan, hanya segolongan rakan taulan dan sanak saudara yangtidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Turut diadakan pada hari kenduri, adalah majlis berendoi, marhaban dan upacara ”Tahnik” yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Yusri al-Hafiz dari Polimas..InsyaAllah dengan harapan anakanda Ammar juga bakal menjadi al-Hafiz suatu hari nanti. Majlis berjalan dengan lancar bermula selepas solat Jumaat, jam 2.30- 7.00 petang. Menu berupa tiga ekor kambing masak merah manis, gulai ikan talang, ikan talang goreng bawang dan acar timun nenas selesai bertepatan dengan jumlah tetamu. Ramai rakan-rakan yang hadir mengucapkan tahniah dan membawa cenderahati untuk anakanda Ammar. Terima kasih kepada semua yang hadir.
Kehadiran Muhammad Ammar juga membawa erti keinsafan pada diri. Pada kelahiran ini, saya berpeluang menemani isteri di saat hendak bersalin. Di saat itu, saya terkenang kembali betapa sukarnya seorang ibu hendak melahirkan seorang zuriat. Rasa sebak di hati melihat keadaan isteri yang sedang bertarung dengan kesakitan tambahan pula ini adalah pengalaman pertama beliau melahirkan seorang bayi. Alhamdulillah, airmata kegembiraan mengalir tanpa disedari disaat azan dilaungkan di telinga Muhammad Ammar. Terima kasih isteriku, Noor Shamsila bt Ismail kerana memberiku seorang lagi insan bergelar cahayamata..
Harapan saya agar anakanda Muhammad Ammar menjadi insan soleh dan bertaqwa serta berbakti kepada orang tua. Begitu juga dengan anakanda-anakanda yang lain, Alya, Aiman dan Anas. Semoga dirahmati Allah, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia. Sekian.









