Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan al-Mubarak..
Malam pertama Ramadhan 1430 Hijrah, saya bersolat Tarawikh bersama keluarga di Masjid as-Solihin, Kg Alor Ibus, kampung kelahiran saya. Terasa betapa syahdunya kunjungan Ramadhan kali ini, betapa kelazatan dan kemanisan Ramadhan itu mewarnai hati sanubari saya. Bergelinang airmata saya di saat mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh tuan imam, Hj Abdullah bin Hj Man.
Melalui detik-detik di ambang Ramadhan, lalu menyedari dan menginsafi akan kekerdilan diri bermuwajahah dengan Allah yang Maha Agung. Terasa enaknya sebuah pengabdian kepada Ilahi yang masih diizinkan melalui saki baki kehidupan di maya pada ini.
Alhamdulillah, melihatkan kehadiran para jemaah lelaki dan wanita serta kanak-kanak yang ramai mengunjungi dan mengimarahkan masjid pada malam pertama Ramadhan kali ini, membuktikan kesungguhan dan keiltizaman mereka untuk merebut peluang keemasan bagi melipatgandakan amal ibadah dan mengejar anugerah Allah yang melimpah ruah di Ramadhan al-Mubarak. Kebarangkaliannya, segala mutiara-mutiara ilmu, dorongan dan rangsangan yang sering diwar-warkan oleh para penceramah dan penyampai ilmu di masjid telah mengetuk pintu hati insan soleh dan solehah ini untuk mengecapi nikmatnya Ramadhan..
Selesai solat Tarawikh, diteruskan pula dengan majlis tahlil arwah yang dipimpin oleh Ustaz Ridzuan, menantu tuan imam dan saya pula diamanahkan untuk membacakan doa. Mudah-mudahan di malam pertama Ramadhan ini, mereka yang telah mendahului kita akan beroleh cucuran rahmat dan kasih sayang Allah.. Ameen.
Saya pulang ke rumah mertua di Kampung Sg Daun bagi bersahur di hari pertama Ramadhan bersama isteri tercinta, Noor Shamsila dan anakanda Aiman dan Anas sementara anakanda Alya bersama tok dan wan di Alor Ibus kerana dia perlu menghadiri kelas tuisyen di sana.
Selamat datang Ramadhan, aku merinduimu..
-Jumaat,30 Syaaban 1430 Hijrah bersamaan 21 August 2009-