
Alhamdulillah..Syukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurniaNya menganugerahkan seorang lagi insan baru bagi menceriakan lagi kehidupan yang sementara ini..
Muhammad Ammar nama diberi,
Wajah mulus putih berseri,
Wajah mulus putih berseri,
Inilah putera baba dan ummi,
Semoga menjadi insan berbudi pekerti.
Tanggal 3 Disember 2009 bersamaan dengan 16 Zulhijjah 1430 H, lahirlah seorang lagi putera saya.. Muhammad Ammar bin Muhd Luthffi Ameer.
Kelahiran insan baru ini menambahkan lagi keceriaan dalam hidup ini. Naluri sebagai seorang bapa dan ibu bagi isteri saya semakin terasa dengan kehadiran Ammar. Setelah hampir 10 tahun terasing dengan tangisan manja seorang bayi, kini Ammar hadir menambah bahagia.
Alya Mahirah, Muhammad Aiman dan Muhammad Anas juga semakin ceria dengan kehadiran adik baru mereka. Terasa begitu asyik sekali melihat keletah anak-anak termasuk Muhammad Ammar yang baru genap sebulan kelahirannya. Tidak banyak ragamnya, Ammar semakin membesar dari sehari ke sehari. Terasa cepat masa berlalu, kini Ammar berusia satu bulan.
Seminggu yang lepas, bertarikh 25 Disember 2009 telah diadakan kenduri aqiqah untuk Muhammad Ammar. Alhamdulillah, tetamu yang dijemput tidak melepaskan peluang hadir untuk melihat anakanda Ammar. Hampir 500 panggilan, hanya segolongan rakan taulan dan sanak saudara yangtidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Turut diadakan pada hari kenduri, adalah majlis berendoi, marhaban dan upacara ”Tahnik” yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Yusri al-Hafiz dari Polimas..InsyaAllah dengan harapan anakanda Ammar juga bakal menjadi al-Hafiz suatu hari nanti. Majlis berjalan dengan lancar bermula selepas solat Jumaat, jam 2.30- 7.00 petang. Menu berupa tiga ekor kambing masak merah manis, gulai ikan talang, ikan talang goreng bawang dan acar timun nenas selesai bertepatan dengan jumlah tetamu. Ramai rakan-rakan yang hadir mengucapkan tahniah dan membawa cenderahati untuk anakanda Ammar. Terima kasih kepada semua yang hadir.
Kehadiran Muhammad Ammar juga membawa erti keinsafan pada diri. Pada kelahiran ini, saya berpeluang menemani isteri di saat hendak bersalin. Di saat itu, saya terkenang kembali betapa sukarnya seorang ibu hendak melahirkan seorang zuriat. Rasa sebak di hati melihat keadaan isteri yang sedang bertarung dengan kesakitan tambahan pula ini adalah pengalaman pertama beliau melahirkan seorang bayi. Alhamdulillah, airmata kegembiraan mengalir tanpa disedari disaat azan dilaungkan di telinga Muhammad Ammar. Terima kasih isteriku, Noor Shamsila bt Ismail kerana memberiku seorang lagi insan bergelar cahayamata..
Harapan saya agar anakanda Muhammad Ammar menjadi insan soleh dan bertaqwa serta berbakti kepada orang tua. Begitu juga dengan anakanda-anakanda yang lain, Alya, Aiman dan Anas. Semoga dirahmati Allah, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia. Sekian.
- Hj Muhd Luthffi Ameer-
02 Januari 2010
16 Muharram 1431 H
11.30 a.m
No comments:
Post a Comment