Keluarga

Dengan Nama Allah

Thursday, July 15, 2010

Assalamualaikum

Salam Mahabbah buat semua..


Semoga sentiasa di bawah lindungaNya Ya Rabbul I’zzati..Begitu cepat masa berlalu dan ia semakin mematangkan kita. Hari demi hari dilalui penuh makna dengan pelbagai suka duka ujian dan rintangan.



Alhamdulillah, umur kita masih dipanjangkan dengan rezeki yang tidak putus-putus dari Ilahi. Kebelakangan ini, saya begitu sibuk dengan undangan ceramah, forum dan kuliah-kuliah sempena Isra’ dan Mikraj. Terima kasih kepada semua yang mengundang. Namun, setelah lebih dua minggu undangan saya penuhi, hari ini saya terpaksa cuti rehat akibat masalah suara. Mohon maaf kepada undangan hari ini yang tidak dapat dipenuhi akibat suara saya yang agak serak. Saya telahpun mendapatkan rawatan dii hospital tadi. InsyaAllah, tiada apa-apa yang serius melainkan tekak yang sedikit kemerahan. Mungkin disebabkan kurang minum air dan cuaca yang panas tambahan pula hari-hari saya dipenuhi dengan undangan ceramah. Saya terpaksa merehatkan diri di rumah untuk kembali pulih seperti sediakala.



Isteri tercinta yang jauh di mata dekat di hati sentiasa menasihati saya supaya menjaga kesihatan. Mungkin kerisauan sedang menjalar di hatinya. Belumpun sampai seminggu pulang ke Johor untuk meneruskan pengajian, suaminya pula terpaksa berehat di rumah untuk memulihkan kesihatan suara. Tidak mengapa, semua ini jua ujian dari Allah dan semoga Allah mempermudahkan. Terasa satu kepuasan apabila dapat menyampaikan ilmu kepada ahli masyarakat tambahan pula keadaan masa kini yang mana masyarakat sentiasa terdedah kepada pelbagai gejala-gejala buruk yang kadangkala mampu memesongkan akidah.Nau’zubillah.
Anakanda-anakanda pula seperti biasa, yg remaja semakin menginjak kematangannya..yg kecil, semakin menginjak kecerdasannya. Muhammad Ammar sudah pun berusia 7 bulan, terasa begitu cepat masa berlalu..Namun, syukur segalanya berjalan dengan baik dan lancar.Semoga ianya sentiasa begitu.



Akhir kalam untuk kali ini,Semoga kita semua dijauhkan dari segala macam bala bencana dan gejala yang bakal menjejaskan iman kita..amin Ya Rab.

Friday, March 26, 2010

Erti Perjuangan dan Pengorbanan

Assalamualaikum semua..

Sudah lama rasanya tidak berkesempatan mencoret kata di ruangan ini.. Masa tidak mengizinkan dengan kesibukan tugasan sehari-harian yang semakin banyak..Alhamdulillah..

Seperti biasa, rutin hidup berjalan seperti biasa. Dengan kerja-kerja di pejabat, ditambah pula dengan ceramah, kuliah dan kursus haji yang tidak lekang dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan kemampuan dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. Sebenarnya, tanggungjawab ini mendatangkan satu kepuasan bagi diri saya.

Dengan sokongan jitu dan telus dari isteri tercinta, juga anakanda-anakanda yang begitu memahami akan kesibukan baba mereka, saya terasa semakin bersemangat. Namun, semua ini tidak menghalang saya dalam memberi tumpuan terhadap kemajuan mental dan insaniah yang perlu wujud dalam diri anak-anak.


Alya Mahirah, sibuk dengan persekolahannya..maklumlah, semakin menginjak keremajaannya, dengan usia 16tahun kini, Alya semakin aktif dengan aktiviti-aktiviti di sekolahnya.

Begitu juga dengan Muhammad Aiman, Aiman juga semakin besar panjang. Tatkala melawatnya sewaktu sesi kuliah Subuh di sekolahnya, pagi tadi.. Aiman juga menceritakan kesibukannya di sekolah. Mungkin azamnya untuk berjaya semakin tinggi. Sejak di sekolah menengah, prestasi anakanda Aiman semakin baik. Alhamdulillah..

Muhammad Anas pula masih setia bersama saya di rumah tatkala abang dan kakaknya tinggal di asrama. Setiap malam, saya akan mengambilnya di kelas mengaji. Selepas pada itu, “port” makan saya bersama anakanda anas adalah di kedai Pak Ndak bersebelahan kelas mengajinya. Anakanda Anas masih di sekolah Kebangsaan Tebengau dalam darjah 4. Semoga Anas juga berjaya mengikut jejak kakak dan abangnya ke sekolah agama berasrama kelak.


Anakanda Muhammad Ammar kian membesar pula di bawah jagaan ibu mertua saya memandangkan isteri masih meneruskan pengajiannya di UTM Skudai. Sekali sekala, saya turut membawa anakanda kecil saya ke UTM untuk berjumpa umminya.. (diiringi mak dan abah)


Memandang akan situasi kehidupan ini, dapat saya menyimpulkan bahawa setiap inividu mempunyai tanggungjawab dan peranan serta pengorbanan masing-masing..

Isteri saya masih tabah berjuang untuk menamatkan pengajiannya demi masa depan yang beliau dan keluarga idam-idamkan. Saya kagumi semua itu. Walau pelbagai kata-kata orang, beliau tidak pernah mempedulikan apa yang boleh menjatuhkan semangatnya. Saat habis bersalin, dalam tempoh masih berpantang, dia gagahi perjalanannya di alam pengajian. Tambahan pula, terpaksa berjauhan dengan anak yang dikandung selama 9 bulan..berjauhan dengan suami dan keluarga.. menumpang di negeri orang. Itu adalah perjuangan dan pengorbanan bagi dirinya. Semoga Allah terus memberinya kekuatan dalam perjalanan hidupnya itu. Saya pula bersama anak-anak masih disini menantikan kejayaan yang bakal ditagih oleh ummi mereka tidak lama lagi.

Masa berlalu begitu pantas..usia semakin menginjak kedewasaannya. Semoga hari-hari mendatang berlalu dengan penuh makna dan semoga perjalanan kami semua diiringi limpah rahmat dari Illahi dan diberi segala kemudahan dalam merencanakan kehidupan yang fana ini. Ameen..

Jumaat; 11 Rabiul Akhir 1431 H.
26 Mac 2010 ; 4.00 p.m

Friday, January 1, 2010

Anugerah Allah.. Muhammad Ammar





Alhamdulillah..Syukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurniaNya menganugerahkan seorang lagi insan baru bagi menceriakan lagi kehidupan yang sementara ini..


Muhammad Ammar nama diberi,
Wajah mulus putih berseri,
Inilah putera baba dan ummi,
Semoga menjadi insan berbudi pekerti.


Tanggal 3 Disember 2009 bersamaan dengan 16 Zulhijjah 1430 H, lahirlah seorang lagi putera saya.. Muhammad Ammar bin Muhd Luthffi Ameer.


Kelahiran insan baru ini menambahkan lagi keceriaan dalam hidup ini. Naluri sebagai seorang bapa dan ibu bagi isteri saya semakin terasa dengan kehadiran Ammar. Setelah hampir 10 tahun terasing dengan tangisan manja seorang bayi, kini Ammar hadir menambah bahagia.


Alya Mahirah, Muhammad Aiman dan Muhammad Anas juga semakin ceria dengan kehadiran adik baru mereka. Terasa begitu asyik sekali melihat keletah anak-anak termasuk Muhammad Ammar yang baru genap sebulan kelahirannya. Tidak banyak ragamnya, Ammar semakin membesar dari sehari ke sehari. Terasa cepat masa berlalu, kini Ammar berusia satu bulan.


Seminggu yang lepas, bertarikh 25 Disember 2009 telah diadakan kenduri aqiqah untuk Muhammad Ammar. Alhamdulillah, tetamu yang dijemput tidak melepaskan peluang hadir untuk melihat anakanda Ammar. Hampir 500 panggilan, hanya segolongan rakan taulan dan sanak saudara yangtidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Turut diadakan pada hari kenduri, adalah majlis berendoi, marhaban dan upacara ”Tahnik” yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Yusri al-Hafiz dari Polimas..InsyaAllah dengan harapan anakanda Ammar juga bakal menjadi al-Hafiz suatu hari nanti. Majlis berjalan dengan lancar bermula selepas solat Jumaat, jam 2.30- 7.00 petang. Menu berupa tiga ekor kambing masak merah manis, gulai ikan talang, ikan talang goreng bawang dan acar timun nenas selesai bertepatan dengan jumlah tetamu. Ramai rakan-rakan yang hadir mengucapkan tahniah dan membawa cenderahati untuk anakanda Ammar. Terima kasih kepada semua yang hadir.


Kehadiran Muhammad Ammar juga membawa erti keinsafan pada diri. Pada kelahiran ini, saya berpeluang menemani isteri di saat hendak bersalin. Di saat itu, saya terkenang kembali betapa sukarnya seorang ibu hendak melahirkan seorang zuriat. Rasa sebak di hati melihat keadaan isteri yang sedang bertarung dengan kesakitan tambahan pula ini adalah pengalaman pertama beliau melahirkan seorang bayi. Alhamdulillah, airmata kegembiraan mengalir tanpa disedari disaat azan dilaungkan di telinga Muhammad Ammar. Terima kasih isteriku, Noor Shamsila bt Ismail kerana memberiku seorang lagi insan bergelar cahayamata..


Harapan saya agar anakanda Muhammad Ammar menjadi insan soleh dan bertaqwa serta berbakti kepada orang tua. Begitu juga dengan anakanda-anakanda yang lain, Alya, Aiman dan Anas. Semoga dirahmati Allah, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia. Sekian.


- Hj Muhd Luthffi Ameer-
02 Januari 2010
16 Muharram 1431 H
11.30 a.m

About Me

My photo
- Pensyarah Kanan Pengajian Islam & Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,06000 Jitra Kedah. - Panelis Forum Perdana Ehwal Islam Kedah FM - Penceramah Agama bertauliah - Penceramah Kursus Haji Bersiri, Intensif dan Perdana Negeri Kedah.

My Heart

My Heart

My newborn baby..Muhammad Ammar

My newborn baby..Muhammad Ammar