Keluarga

Dengan Nama Allah

Sunday, October 11, 2009

SAJAK PERSEMADIAN ABADI ( Al Marhumah Hajjah Aishah )




Di kamar itu
Dalam ruang sepi yang gemuruh
Ku pasrah keajaiban kerja Tuhan
Sangat seni dan penuh tertib
Mengaturkan detik kepulangan
Ke persemadian abadi

Di sisi lenanya yang panjang
Ku dakapi dua putera satu puteri
Tubuh kami bersatu, bergetar bersama
Dalam berat rasa kehilangan
Yaasin dititipkan iringi pengembaraan

Menoleh relung 12 musim dulu
Tatkala perjanjian diijabqabulkan
Hidup diulit lembayung kebahagiaan
Meniti hari ujian mendatang
Pahit manis asam garam kehidupan
Jua redha Allah berada di persada
Aku cuma lelaki emas sesaga
Hanya mampu janjikan kasih dan cinta
Dia tidak pernah menuntut selebihnya

Kini menghampiri 3 tahun persinggahan barzakhnya
Antara dua nisan sepohon kemboja
Aku sering berlama-lama di sini
Redha menerima ketentuan Tuhan
Alam seakan turut mengerti

Patah tumbuh hilang berganti
Belaian kemesraan, keramahan jua cinta kasih
Dari kelembutan suara dan kesopanan akal budi
Terima kasih ayang ku
Sudi menggalang ganti jadi isteri
Dan ummi kepada anak-anak ku..

Hj Muhd Luthffi Ameer bin Abdullah
POLIMAS, Jitra

Thursday, September 24, 2009

KULIAH BICARA AD DEEN OKTOBER 2009



KULIAH RAMADHAN KEDAH FM LIVE DARI SURAU KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH

Selasa 24 Ramadhan 1430 (14/9/2009), saya diamanahkan untuk menyampaikan kuliah Ramadhan radio Kedah FM secara langsung bersiaran dari Surau KUIN dengan tajuk ' Cari Redha ' bersama Ustaz Mohd Isa Abdul Rahman sebagai moderator. Siaran ke udara selama lebih kurang 45 minit.

Saya telah menghuraikan beberapa perkara berkaitan tajuk ' Cari Redha ', antaranya matlamat yang diimpikan oleh setiap insan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi ialah untuk memperolehi keredhaan Allah SWT. Saya memfokuskan kepada 5 mim sebagai platform utama ke arah mengecapi limpahan perkenan kasih sayang dari Allah SWT, iaitu Muslim, Mukmin, Mukhlisin, Muhsinin dan Muttaqin.

Sesi kuliah berlangsung lebih kurang 40 minit dan baki 5 minit disusuli dengan soal jawab dengan pendengar secara on line. Alhamdulillah semuanya dapat berjalan dengan lancar dan ini merupakan pengalaman kedua saya berkuliah secara langsung di Kedah FM, setelah kali pertama dahulu semasa slot Forum Minda Islam.

Monday, September 21, 2009

IFTHAR RAMADHAN BERSAMA KDYMM TUANKU SULTAN KEDAH DARUL AMAN

Hari Selasa, 18 Ramadhan 1430, saya diarahkan oleh KJ Ustaz Zulkifli untuk hadir mewakili POLIMAS ke majlis ifthar bersama KDYMM Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Lebih kurang jam 7.05 malam, saya telah berada di laman istana dan terus ke dewan santapan yang dipenuhi dengan tetamu jemputan. Di pentas utama tetamu VVIP telah sedia menunggu keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan, antaranya YB Speaker Dato' Hj Abd Isa Ismail, SS Mufti Kerajaan Kedah yang baharu dilantik, Dato' Syeikh Muhd Baderuddin Hj Ahmad ( kekanda dan guru saya semasa di Al Azhar, Alfu Mabruk wa siru 'ala BarakatilLah ), Bekas MB, Dato' Seri Mahdhir Khalid dan lain-lain.

Jam 7.23 malam, azan berkumandang dan ifthar bermula, diikuti solat maghrib,bacaan tahlil,solat Isya' dan solat sunat Tarawih di balai penghadapan yang dipimpin oleh SF Tuan Syeikh Roslan Abdul Halim, Imam Besar Masjid Zahir Alor Setar, Setelah semuanya selesai, majlis diteruskan dengan santapan di raja bersama tetamu jemputan. Alhamdulillah, enak sekali juadah yang dihidangkan.

Saya sempat bertemu mesra dengan teman-teman dan rakan-rakan antaranya Sy Radzi, Sy Zaki, Sy Zainul Mukhtar, Radhi Mat Din, Azrai Khor, Ahmad Sobri Ismail, Dato' Ir Amiruddin, Dato' Paduka Sy Hasbullah dan lain-lain dalam kunjungan saya kali pertama ke laman istana Anak Bukit Alor Setar

' Liqa' Mubarak '

Friday, August 28, 2009

PROGRAM DISKUSI RAMADHAN 1430 H POLIMAS

SALAM RAMADHAN KAREEM


Sudah agak lama kita tidak berbual bicara di laman maya ini kerana kekangan tugasan dan kesibukan mengaplikasikan fadhilat Ramadhan Al Mubarak

4 Ramadhan 1430 (24/8/2009) yang lalu telah berlangsung program Ehya Ramadhan peringkat POLIMAS dengan majlis Diskusi Ramadhan anjuran Jawatankuasa Pemantapan Sahsiah di Dewan Kuliah 6, Penceramah jemputan ialah SF Dato' Syeikh Hj Fadhil b Hj Awang, Ahli Majlis Fatwa Kedah yang juga merupakan ayahanda guru saya semasa di Maahad Mahmud Alor Setar pertengahan tahun 80 an. Alhamdulillah, turut hadir menjayakan majlis ini ialah En Muhd Zin Mamat Timbalan Pengarah Akademik dan Tuan Hj Abdul Nasir Ibrahim, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ketua-Ketua Jabatan Akademik dan rakan-rakan staf yang lain.

Majlis berlangsung dalam suasana yang teratur dengan sajian dan santapan rohani yang diadunkan resepi dan acuannya oleh tuan penceramah yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang keagamaan dan disusuli pula dengan sesi soal jawab mengenai permasalahan puasa Ramadhan. Natijahnya begitu memberangsangkan sekali kerana ada isu-isu yang jarang didiskusikan telah dapat diperjelaskan dengan sebaiknya. Reaksi dan maklum balas daripada audien begitu memuaskan dan mereka mengharapkan agar program tersebut dapat dilanjutkan pada masa hadapan, Insya Allah

Jazakumullahu Khairal Jaza kepada SF Dato' di atas kesudian hadir ke majlis kami dan saya dimaklumkan pada awal pagi esok 5 Ramadhan Dato' bersama rombongan Ahli Majlis Agama Islam Kedah akan berangkat Ke Tanah Suci Makkah , Siru 'Ala BarakatilLah

JADUAL AKTIVITI SEPTEMBER 09


JADUAL AKTIVITI SEPANJANG SEPTEMBER 2009

Saturday, August 22, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan al-Mubarak..
Malam pertama Ramadhan 1430 Hijrah, saya bersolat Tarawikh bersama keluarga di Masjid as-Solihin, Kg Alor Ibus, kampung kelahiran saya. Terasa betapa syahdunya kunjungan Ramadhan kali ini, betapa kelazatan dan kemanisan Ramadhan itu mewarnai hati sanubari saya. Bergelinang airmata saya di saat mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh tuan imam, Hj Abdullah bin Hj Man.

Melalui detik-detik di ambang Ramadhan, lalu menyedari dan menginsafi akan kekerdilan diri bermuwajahah dengan Allah yang Maha Agung. Terasa enaknya sebuah pengabdian kepada Ilahi yang masih diizinkan melalui saki baki kehidupan di maya pada ini.

Alhamdulillah, melihatkan kehadiran para jemaah lelaki dan wanita serta kanak-kanak yang ramai mengunjungi dan mengimarahkan masjid pada malam pertama Ramadhan kali ini, membuktikan kesungguhan dan keiltizaman mereka untuk merebut peluang keemasan bagi melipatgandakan amal ibadah dan mengejar anugerah Allah yang melimpah ruah di Ramadhan al-Mubarak. Kebarangkaliannya, segala mutiara-mutiara ilmu, dorongan dan rangsangan yang sering diwar-warkan oleh para penceramah dan penyampai ilmu di masjid telah mengetuk pintu hati insan soleh dan solehah ini untuk mengecapi nikmatnya Ramadhan..

Selesai solat Tarawikh, diteruskan pula dengan majlis tahlil arwah yang dipimpin oleh Ustaz Ridzuan, menantu tuan imam dan saya pula diamanahkan untuk membacakan doa. Mudah-mudahan di malam pertama Ramadhan ini, mereka yang telah mendahului kita akan beroleh cucuran rahmat dan kasih sayang Allah.. Ameen.

Saya pulang ke rumah mertua di Kampung Sg Daun bagi bersahur di hari pertama Ramadhan bersama isteri tercinta, Noor Shamsila dan anakanda Aiman dan Anas sementara anakanda Alya bersama tok dan wan di Alor Ibus kerana dia perlu menghadiri kelas tuisyen di sana.


Selamat datang Ramadhan, aku merinduimu..

-Jumaat,30 Syaaban 1430 Hijrah bersamaan 21 August 2009-

Thursday, August 20, 2009

Gift from ALLAH


“Wahai Tuhan,..Alangkah gembiranya daku. Tuhan,?.Engkaulah cita2ku, harapanku, Kasih sayangku, bekalanku dan matlamatku. Engkaulah cahaya hatiku. Engkaulah harapanku. Ya Tuhan,jika bukan kerana-Mu,aku tidak pernah bersusah payah di dunia ini. Betapa banyak pemberian-Mu kepadaku,betapa luas nikmat-Mu untukku. Cinta-Mu,kasih sayang-Mu adalah harapan,kesenangan serta pujianku. Selama hidupku aku tidak mahu lepas dari-Mu. Engkau telah mendarah daging di tubuhku. Alangkah senangnya hatiku,jika aku tahu Engkau telah meredhaiku?

"Tuhanku, tenggelamkanlah diriku kedalam samudera keikhlasan mencintai-Mu,sehingga tidak ada sesuatu yang menyibukkanku kecuali berzikir kepada-Mu?
(Munajat sufi Rabiatul Adawiyah)

“Pelajarilah Ilmu, karena mempelajarinya karena Allah adalah khasyah, Menuntutnya adalah ibadah, mempelajarinya adalah Tasbih, mencarinya adalah Jihad, Mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah Shadaqah, menyerahkan kepada ahlinya adalah Taqarrub. Ilmu adalah teman dekat dalam kesendirian dan sahabat dalam kesunyian.?
(Muadz bin Jabal Radhiyyallahuanhu)
























About Me

My photo
- Pensyarah Kanan Pengajian Islam & Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,06000 Jitra Kedah. - Panelis Forum Perdana Ehwal Islam Kedah FM - Penceramah Agama bertauliah - Penceramah Kursus Haji Bersiri, Intensif dan Perdana Negeri Kedah.

My Heart

My Heart

My newborn baby..Muhammad Ammar

My newborn baby..Muhammad Ammar